Ucapan Perbahasan Bajet 2022 Ahli Parlimen Tuaran, DSP Wilfred Madius Tangau

Terima kasih Tuan Speaker kerana memberi peluang kepada Tuaran untuk turut membahaskan Bajet 2022. Terima kasih juga kerana sebagai Ketua parti Tuaran diberi 20 minit untuk berbahas. Izinkan saya memulakan perbahasan dengan tiga rangkap pantun.

Dari Perlis Indera Kayangan

Bertemu Jodoh di Borneo Utara, 

Malaysia Barat tinggal kenangan,

Kini disanjung, Semenanjung Malaysia. 

*********************************

Datang ke Sabah membeli ikan bilis,

Pergi Sarawak membeli kek lapis,

Malaysia Barat namanya ditukar habis,

Malaysia Timur kekal untuk negeri dua S.

*********************************

Sabah Sarawak, kembar S berdua,

Malaysia Timur, wilayah terbesar negara,

Jika Malaysia Barat, Semenanjung Malaysia

Sabah dan Sarawak, ialah Tanah Besar Malaysia.

  1. Sepertimana yang telah dibentangkan oleh Menteri Kanan Kewangan, peruntukan Bajet 2022 adalah bertujuan Memperkukuhkan Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan.
  1. Pada Tuaran, apapun jua objektif yang ingin dicapai dalam Bajet 2022, Tuaran melihat keseluruhan bajet ini dihasilkan dengan mindset bahawa Malaysia itu ialah Semenanjung Malaysia dan Semenanjung Malaysia itu adalah Malaysia. Sama ada penggubal Bajet 2022 ini sedar ataupun tidak, tapi itulah hakikatnya yang boleh disimpulkan bagaimana Bajet ini dilihat secara menyeluruh. Maka dengan itu, tidak hairanlah apabila orang Sabah yang datang ke Putrajaya sering menerima pertanyaan, “bila sampai ke Malaysia?”
  1. Sebenarnya Tuan Speaker, dengan keluasan Sabah dan Sarawak sebanyak 198,062km2 (60%) sudah terang lagi bersuluh bahawa gabungan kedua wilayah di Kepulauan Borneo ini jelas menggambarkan di mana sebenarnya kedudukan Tanah Besar Malaysia. Ini kerana keluasan keseluruhan Semenanjung Malaysia baru 131,598km2 iaitu 40%. Sebab itu apabila merumuskan Bajet Tahunan untuk negara kita yang tercinta ini, mindset atau mentaliti itu sangat penting. Harus diingat, Sabah, Sarawak dengan Semenanjung adalah equal partner. Sebab itu, saya sudah menyatakan berkali kali di Dewan yang mulia ini, bahawa tidak cukup untuk memandang ke Borneo sahaja. Tetapi denyutan nadi penduduk Tanah Besar Malaysia iaitu rakyat di Sabah dan Sarawak hendaklah diambil peduli, didengar dengan mata hati, serta dirasai penuh empati.
  1. Tuan Speaker, Sudah pasti, semua orang boleh melihat dan membuat analisa bahawa peruntukan perbelanjaan iaitu RM233.5 Bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM75.6 Billion perbelanjaan Pembangunan, dan RM23 Bilion peruntukan untuk menangani Covid,  sebahagian besarnya adalah dibelanjakan di Semenanjung Malaysia.
  1. Sememangnya banyak faktor yang menyumbang keadaan itu berlaku. Namun saya ingin nyatakan sekali lagi. Bahawa faktor utamanya adalah mindset perancang, penggubal dasar dan pembuat keputusan negara kita. Ya dari segi keanggotaan dalam jemaah kabinet pun kita sudah tahu. Walaupun Sabah dan Sarawak 20% lebih besar daripada Semenanjung Malaysia, namun hanya beberapa orang sahaja yang berada dalam jemaah kabinet.
  1. Bukan itu sahaja, tetapi yang menarik dan perlu diketahui umum juga ialah, walaupun Pasal 121 (1) (a) (b) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa, terdapat dua mahkamah tinggi penyelaras hal kehakiman dan perundangan di negara kita iaitu High Court in Malaya dan High Court in Sabah and Sarawak.  Namun daripada segi bajetnya, dengan jelas pada Maksud Tanggungan 8 dan juga dalam hal Pengurusan Kehakiman dan Perundangan, dinyatakan bahawa tidak ada bajet khusus untuk High Court in Sabah and Sarawak. Sebab itu, saban tahun Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak terpaksa memohon peruntukan kepada Ketua Setiausaha Negara untuk apa juga bentuk perbelanjaan bagi tujuan pembelian termasuk sekecil-kecil barang  seperti tisu tandas. Tuaran minta supaya Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak diberi bajet tahunan untuk mengurus dan perolehan.
  1. Tuan Speaker, sudah tiba masanya untuk memperbetulkan kecelaruan seperti ini demi membina sebuah negara Malaysia yang berasaskan kepada semangat Perjanjian Malaysia 1963. Biarlah equal partner ini dapat dipraktikkan kepada Mahkamah Tinggi dengan memberi peruntukan bajet tahunan yang sewajarnya kepada Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak. Pada masa yang sama, kuasa Tuan Yang Terutama Yang di Pertua Negara Sabah, seperti mana yang termaktub dalam versi asal Perlembagaan Persekutuan juga hendaklah dìkembalikan!
  1. Pada masa kini, kita sudah sering mendengar kelantangan suara-suara supaya Sabah dan Sarawak keluar Malaysia. Malah,  sudah ada parti yang ditubuhkan untuk memperjuangkan Sarawak keluar Malaysia. Kenapa ini terjadi? Tepuk dada tanya selera. Jangan sudah terhantuk baru terngadah. Sesungguhnya, Sabah dan Sarawak sangat-sangat memerlukan dana yang BESAR untuk menyelesaikan masalah pembangunan yang sangat asas. Lihatlah, walaupun Malaysia sudah berumur 58 tahun namun masih banyak keperluan asas di Sabah dan Sarawak yang belum dipenuhi. SUARA kita tidak dipedulikan!
  1. Sebagai contoh di Sabah masalah sumber bekalan air, masalah 52% Non Revenue water (NRW), yang sangat teruk. Hari-hari dibuat catuan air. Ada yang sampai 7 hari. Malah ada yang berdepan pengalaman perit semasa PKPD dilaksanakan di kawasan mereka. Sudahlah terkurung, air pun tiada. Justeru saya ingin bertanya. Adakah penggubal Bajet 2022 ini telah mengambil kira masalah yang cukup mendesak ini? Adakah mereka betul-betul telah melihat sendiri, turun padang dan mendapatkan pandangan rakyat?
  1. Ini kerana Peruntukan RM226.759 juta untuk Rancangan Bekalan Air Sabah di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air, serta peruntukan RM129.4 Juta untuk Bekalan Air Luar Bandar Sabah di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah hanyalah untuk menampung kesinambungan projek sedia ada. Dan ia bukannya untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah secara tuntas.
  1. Begitu juga dalam hal talian internet, daripada RM700 Juta untuk pelaksanaan JENDELA dalam bajet 2022, tidak ada dinyatakan berapakah peruntukan yang dikhususkan untuk Tanah Besar Malaysia. Denyutan nadi rakyat Sabah dan Sarawak belum lagi dirasai. Sebab kami hanya dijanjikan dan dikatakan hanya “pandang ke Borneo”. Mana boleh hanya pandang-pandang. Mesti datang, lihat, dan rasai sendiri kehendak dan masalah rakyat di sini sekiranya benar-benar serius menyelesaikan masalah rakyat di Sabah.
  1. Tuan Speaker, Jika Tuaran perincikan satu persatu keperluan pembangunan seperti menaiktaraf bekalan air Luar Bandar daripada paip graviti kepada air terawat, menaiktaraf penjanaan dan penghantaran bekalan elektrik, memperluaskan talian internet, menaiktaraf pelabuhan dan lapangan terbang, melaksanakan lebuhraya Pan Borneo, menaik taraf bangunan Sekolah-Sekolah daif, menaiktaraf klinik-klinik kesihatan Luar bandar dalam hal pembangunan; Pakatan Harapan telah mencadangkan agar 30% daripada Bajet Pembangunan hendaklah diberikan kepada wilayah-wilayah di Tanah Besar Malaysia, yakni Sabah dan Sarawak. Tidak syak lagi bahawa cadangan Pakatan Harapan ini sangat bertepatan. Kerana sekali lagi saya ingin ulangi, 60% daripada keluasan tanah negara kita Malaysia adalah wilayah Sabah dan Sarawak. Semenanjung Malaysia hanyalah 40% daripada keluasan tanah Malaysia.
  1. Tentunya cadangan ini bukanlah satu cadangan bersifat parokial malah objektifnya ialah untuk merapatkan jurang pembangunan wilayah yang begitu besar. Jika dasar ini dipertimbangkan maka daripada jumlah RM75.6 Bilion yang telah diperuntukkan untuk pembangunan, RM22.68 Billion. Namun apa yang telah diberikan bukan 30% daripada keaeluruhan tetapi hanyalah 1.39% untuk Sarawak dan 1.59% untuk Sabah. Cadangan kita tidak dipedulikan.
  1. Pendek kata 30% daripada Bajet pembangunan yang diberi kepada Tanah Besar Malaysia is highly justified . Ingin saya nyatakan sekali lagi bahawa kesemua peruntukan untuk bekalan air SABAH daripada Persekutuan di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air adalah untuk menampung projek-projek tertunggak yang sedia ada.
  1. Jika benarlah penggubal Bajet 2022 ini telah membuat engagement di akar umbi, bagaimana mungkin mereka boleh terlepas pandang masalah bekalan air di Sabah. Penduduk di Taman Telipok Ria, Taman Sri Rugading, Taman Kristal, Taman Telipok Jaya, PPR Gayang, Kg. Marabahai, Taman USJ, Perumahan Bukit Payung malah Taman Perindustrian Kota Kinabalu semuanya di kawasan Parlimen Tuaran, Bandar Serra, Taman Putrajaya dalam Parlimen Sepanggar, sampai 7 hari tidak ada bekalan air akibat rationing yang dilaksanakan oleh Jabatan  Air Sabah. Bagi rakyat yang terkesan ini apakah ertinya pemulihan? Apa sebenarnya pembaharuan dalam bajet 2022 ini?.
  1. Sebenarnya Tuan Yang Dipertua, masalah bekalan air ini berlaku kerana dwi masalah Sumber Air yang tidak mencukupi dan Non Revenue Water (NRW) yang sangat tinggi ia itu melebihi 52%. Masalah NRW ini boleh ditangani dengan menggunakan teknologi Internet of Things (IOT) yang sudah pun dipasang di bandaraya Kota Kinabalu dan berjaya mengurangkan NRW kepada hanya 20%. Tetapi pihak Penggubal Bajet 2022 ini sepatutnya harus tahu kenapa teknologi IOT tersebut tidak dilaksanakan di daerah yang lain seperti Tuaran.
  1. Selain itu, seperti juga di seluruh negara, penduduk di Tanah Besar Malaysia tidak terkecuali daripada kehilangan sumber pendapatan akibat kehilangan pekerjaan dan perniagaan. Namun, keadaan di Sabah jauh lebih teruk. Sudahlah kadar pengangguran di sini sedia tinggi iaitu 8%, dan kadar kemiskinan absolute di Sabah pada kadar 25.3% adalah yang paling tinggi di Malaysia. Buktinya tertera dalam Buku Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang menyatakan bahawa 8 daripada 10 daerah termiskin di Malaysia adalah terdapat di Sabah. Iaitu dareah Kudat, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Telupid, Tongod, dan daerah Nabawan.
  1. Tuan Speaker, dikatakan masih ada 700,000 ha tanah yang sesuai untuk pertanian di Sabah. Namun, pengusaha dan petani menghadapi masalah pemasaran akibat PKP yang berpanjangan. Sebab itulah, maka Pakatan Harapan mencadangkan supaya kerajaan menyediakan dana sebanyak RM30 Juta sebagai insentif ataupun menggalakkan pengusaha dan para petani untuk mengeksport  hasil pertanian mereka ke Semenanjung Malaysia. Selain daripada meningkatkan pendapatan petani, langkah ini juga memberi sumbangan kepada pengurangan import makanan negara yang kini sudah mencecah RM50 Bilion setahun. Tetapi cadangan inipun tidak diambil peduli.
  1. Sesungguhnya, salah satu pengajaran yang diperolehi daripada pengalaman pandemik ini ialah, struktur ekonomi Sabah yang sangat bergantung kepada pelancongan dan eksport komoditi seperti petroleum dan gas serta kelapa sawit. Untuk mempertingkatkan daya tahan serta pembaharuan ekonomi Sabah, maka sumbangan industri pembuatan yang sangat rendah iaitu hanya 7.2% perlu ditingkatkan kepada 30%. Untuk mengorak langkah ke arah itu, Pakatan Harapan telah mencadangkan supaya dalam Bajet 2022 ini disediakan RM100 Juta sebagai insentif untuk mempromosi labour-intensive manufacturing di Tanah Besar Malaysia iaitu RM50 Juta untuk Sabah, dan RM50 Juta untuk Sarawak. Walaupun dana yang dicadang berupa token memandangkan sektor pembuatan ini memerlukan dana yang besar namun cadangan inipun juga tidak diambil peduli.
  1. Tuan Speaker, untuk menjadikan Sabah bertambah menarik sebagai destinasi pelaburan dalam sektor pembuatan, Tuaran mencadangkan supaya dilaksanakan double freight tax deduction. Harus disedari bahawa industri sektor pembuatan adalah berorientasikan eksport memandangkan pasaran tempatan terlalu kecil. Selain itu, Jabatan Perdana Menteri dengan Kerajaan Sabah hendaklah membuat penyelarasan terhadap usaha serta aktiviti bagi menarik kemasukan Pelabur. Pihak SEDIA dan agensi pelaburan Kerajaan Sabah iaitu INVEST Sabah hendaklah melaksanakan seperti apa yang telah dibuat oleh Northern Corridor dan InvestPenang.
  1. Dan Tuan Speaker, yang sangat menyedihkan kepada Tuaran ialah cadangan Pakatan Harapan agar Special Grant kepada Sabah dan Sarawak di bawah Pasal 112D Perlembagaan Persekutuan, hendaklah dinaikkan sebanyak empat kali ganda sepertimana yang telah dicadangkan oleh Kerajaan PH dahulu. Iaitu dinaikkan dua kali ganda setiap tahun sehingga tempoh lima tahun akan datang bermula tahun 2018. Ini bererti, Sabah sepatutnya harus mendapat RM106.8 juta dan RM64 juta untuk Sarawak pada Bajet 2022. Namun,  cadangan inipun tidak dipedulikan.
  1. Tuan Yang di Pertua, kalau pemulihan yang diusahakan dan kalau daya tahan yang dikejar maka perubahan yang dicita-citakan semua ini boleh berlaku hanya apabila adanya perubahan mindset ia itu perubahan pola pemikiran bermula daripada kepemimpinan. Marilah berfikiran Malaysia secara total SABAH dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang setara seperti mana yang diimpikan semasa pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Sekian. Terima kasih.

Tamat

Source link – Berita Sabah

JustForex

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *